
GEORGE TOWN, 24 Okt (Bernama) — Pengeluar peralatan rumah tempatan, Pensonic Holdings Bhd, menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasaran menerusi strategi berasaskan gaya hidup bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei, 2026 (TK2026).
Menerusi kenyataan pasca mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini, kumpulan itu berkata pihaknya akan menumpukan pengembangan portfolio peralatan yang menepati cita rasa semasa, bercirikan pelbagai fungsi dan jimat ruang serta reka bentuk bertemakan budaya, terutama bagi segmen peralatan dapur yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan di masa depan.
Pada masa sama, kumpulan itu akan turut meningkatkan penglibatan dalam media sosial, bekerjasama dengan pempengaruh selain kempen berteraskan gaya hidup untuk mengukuhkan interaksi dengan pengguna muda dan menonjolkan ketampakan jenama secara menyeluruh.
Kumpulan itu juga kekal komited untuk memperkukuh inisiatif kemampanan dan komuniti yang dijadikakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap tanggangjawab alam sekitar dan impak sosial.
“Selain itu, kumpulan kekal kukuh dalam komitmen menyampaikan nilai, kualiti dan inovasi serta memastikan kelangsungan pengembangan Pensonic bersama setiap generasi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pada AGM hari ini, Pengasas merangkap Pengerusi Datuk Seri Chew Weng Khak telah mengumumkan persaraannya selepas menerajui kumpulan sejak penubuhan pada 1965.
Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan berakhir pada 31 Mei 2025, menyaksikan kumpulan itu memaparkan tanda-tanda pemulihan dengan kerugian bersih sekitar RM900,000 berbanding RM13.25 juta pada tahun sebelumnya.
Perolehan hasil pula berjumlah RM99.81 juta berbanding RM84.92 juta sebelum ini.
Bagi asas perbandingan selama 12 bulan, kerugian bersih kumpulan susut kepada RM3.78 juta daripada RM13.61 juta tahun sebelumnya, disokong oleh perolehan hasil sebanyak RM333.77 juta yang meningkat 7.9 peratus berbanding RM309.34 juta sebelum ini.
Menurut kumpulan itu, pertumbuhan berkenaan telah disokong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, sumbangan eksport memberangsangkan serta produk baharu berteraskan gaya hidup yang disasarkan kepada demografi pengguna muda bagi mendorong peningkatan hasil.
–BERNAMA
https://www.bernamabiz.com/news-bm.php?id=2483780
Media: BernamaBiz





























































