KUALA LUMPUR: Pensonic Holdings Bhd (Pensonic), syarikat pengeluar dan pengedar peralatan elektrik rumah yang tersenarai di Bursa Malaysia berada di ambang masa depan yang lebih cerah dengan pelaksanaan inisiatif digital baharu dan strategi transformasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pensonic, Datuk Dixon Chew Chuon Jin, berkata Pensonic menumpukan pada penstrukturan semula operasinya untuk memacu nilai jangka panjang bagi pemegang saham dengan meletakkan syarikat ke arah strategi moden dan kecemerlangan operasi.
“Pensonic kini memanfaatkan pengalaman syarikat selama beberapa dekad dengan beralih kepada strategi moden untuk terus berkembang dalam era digital di mana aset ketara bersih (NTA) syarikat adalah sebanyak RM1.06 sesaham, jauh melebihi harga saham semasa iaitu 50 sen.
“Pensonic juga telah menjalankan pengurangan inventori sebanyak RM6 juta pada suku terakhir tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Chuon Jin berkata, keputusan strategik ini dibuat setelah mengambil kira trend jualan, penuaan inventori dan kitaran hayat produk dengan pendekatan seperti ‘kitchen-sinking’ yang bertujuan untuk mengukuhkan kunci kira-kira dan dijangka menyediakan masa depan kewangan yang lebih kukuh.
“Dengan fokus baharu terhadap inovasi, Pensonic sedang bersiap untuk melancarkan rangkaian peralatan rumah baharu yang direka untuk memenuhi keperluan isi rumah moden.
“Kami yakin bahawa transformasi Pensonic akan mendapat sambutan daripada pengguna masa kini, dengan perbelanjaan isi rumah di Malaysia kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
“Perbelanjaan pengguna di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 4.2 peratus pada tahun 2024, didorong oleh peningkatan pendapatan boleh guna dan permintaan yang meningkat untuk peralatan rumah yang pintar dan cekap tenaga,” katanya.
Beliau berkata, Pensonic berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan yang semakin berubah.
“Fokus strategik kami terhadap inovasi produk dan penglibatan digital memastikan kami kekal relevan kepada isi rumah moden sambil terus menyampaikan kualiti dan kepercayaan yang dikenali oleh Pensonic,” katanya.
Sementara itu, katanya, penyelidikan menunjukkan bahawa pemasaran digital, terutamanya melalui platform seperti TikTok, boleh meningkatkan kesedaran jenama secara signifikan dan memacu penglibatan pengguna, menjadikannya tonggak utama strategi Pensonic untuk mengembangkan bahagian pasarannya dalam industri peralatan rumah.
“Walaupun terdapat ketidakpastian ekonomi dan sentimen pengguna yang berhati-hati di Malaysia, Pensonic yakin terhadap masa depan.
“Dengan perbelanjaan pengguna yang semakin pulih dan permintaan terhadap peralatan rumah pintar serta cekap tenaga yang semakin meningkat, penawaran produk inovatif Pensonic berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend ini,” katanya.